sponsor

Thursday, 7 August 2014

23 mujahidin ‘ditelan’ terowong dan keluar dengan selamat

terowong
23 pejuang mujahidin ‘ditelan’ terowong berminggu-minggu, keluar dalam keadaan selamat

Sebaik sahaja bermulanya tempoh gencatan senjata, Gaza pula dalam keadaan memulihkan keadaan, mengimbau apa yang telah dilalui sepanjang tempoh 30 hari serangan Zionis, maka bermulalah sesi mengumpulkan kisah-kisah kepahlawanan, kesabaran dan pengorbanan yang terpancar di celah-celah kisah penderitaan.

Di antara kisah-kisah yang meniti bibir masyarakat Gaza adalah kisah yang disebarkan oleh Briged Izzuddin Al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas di laman web mereka. Ia berkenaan kisah 29 orang pejuang yang berjuang di sempadan timur Khanyounis di selatan Genting Gaza di awal-awal bermulanya fasa pertempuran darat dengan tentera Zionis kemudian terputusnya hubungan dengan mereka. Mereka terperangkap di bawah tanah untuk tempoh berminggu-minggu lamanya. Ketua mereka menyangka mereka semua telahpun syahid kesemuanya. Akan tetapi, di atas ketentuan Allah, 23 daripada mereka keluar dari terowong tersebut semalam dalam keadaan masih hidup.

Kisah mereka bermula apabila mereka terlibat di dalam pertempuran yang dahsyat di selatan Gaza, di kawasan Al-Ghawafir di timur Qararah. Apabila bermulanya pertempuran darat dengan tentera Zionis, 29 orang tentera Al-Qassam dari Skuad Elit Al-Qassam menggunakan terowong bawah tanah sebagai laluan ke medan pertempuran langsung.

Salah seorang dari mereka menceritakan apa yang berlaku dan mengimbas kembali dengan tenang seolah-olah merasai perlindungan Allah terhadap beliau dan sahabat-sahabatnya sepanjang tempoh berada di bawah tanah tersebut.

Mujahid Al-Qassam yang dirahsiakan namanya menceritakan secara terperinci kisah mereka. Katanya, semuanya berjalan seperti yang telah dirancang. "Kemasukan musuh ke kawasan Qararah diiringi letupan di laluan-laluan keluar-masuk terowong dan pengeboman kawasan Qararah oleh bom-bom yang dijatuhkan pesawat F16 Israel. Ia menyebabkan semua laluan keluar dari terowong sedalam 25 meter ke bawah tanah tersebut tertutup. Ia berlaku ketika hari kedua operasi ketenteraan darat mujahidin bermula. Perhubungan dengan bilik operasi Al-Qassam juga terputus."

Komander Operasi Medan Al-Qassam turut mengulas, “Sejak terputusnya perhubungan dengan mereka pada hari tersebut, kami telah merekodkan semua mujahidin tersebut sebagai angka tentera yang tidak dapat dikesan. Kami juga tidak tahu apa yang terjadi kepada mereka disebabkan pertempuran medan yang sangat dahsyat dan banyak berlaku pertempuran langsung dengan musuh. Dalam perkiraan kami juga, dengan kadar bekalan makanan, minuman dan udara di dalam terowong tersebut adalah tidak mencukupi untuk menampung mereka bagi tempoh yang panjang tersebut dan mustahil mengikut perkiraan logik bahawa aka ada di antara mereka yang hidup."

"Akan tetapi, selepas bermulanya tempoh gencatan senjata, pasukan penyelamat dan pertahanan awam mula melakukan kerja-kerja menggali laluan ke terowong tersebut untuk mengeluarkan mujahidin yang ada di dalam, kami dikejutkan dengan laungan tahmid dan syukur bercampur kejutan. Kebesaran Allah terzahir apabila dua puluh tiga mujahidin keluar dari terowong dalam keadaan masih hidup dan sihat."

Usaha mencari 3 orang mujahidin yang masih hilang, selepas seorang dari mereka iaitu Iyad Al- Fara terkorban ketika dihantar untuk cuba membuka semula laluan masuk terowong bagi menyelamatkan sahabat-sahabatnya. Beliau hampir berjaya menyempurnakan tugas tersebut tetapi malangnya telah terkorban syahid.

Salah seorang mujahid yang selamat kembali dari dalam terowong berkata, “Allah telah memudahkan urusan kami ketika berada di dalam terowong tersebut dengan satu mata air. Kami meletakkan ceraian baju kami pada air tersebut dan minum dari kain tersebut. Kami juga membahagi-bahagikan buah tamar yang ada sesame kami sepanjang tempoh hampir satu bulan tersebut. Bahagian setiap seorang dari kami adalah setengah biji tamar dan separuh cawan kecil air."

Maklumat yang diterima, mata air di kawasan tersebut berada pada kedalaman 90 meter ke bawah dari permukaan bumi, kira-kira 65 meter ke bawah dari kedudukan terowong mereka berada. 

Seorang lagi mujahidin yang selamat keluar dari terowong menambah, "Tugas kami adalah melaksanakan operasi menyusup di belakang barisan musuh dan menggempur jentera perang serta tentera mereka dengan segala kemampuan yang ada. Dan tugas sebahagian Mujahidin dari Skuad Terowong adalah menyediakan terowong, laluan keluar-masuk serta merapikannya bagi kegunaan Skuad Elit Al-Qassam. Semua Mujahidin berada dalam keadaan berjaga-jaga dan telah berada pada kedudukan masing-masing sebelum bermulanya pertempuran darat."

"Apabila bermulanya pertempuran darat, kami mula bertempur dengan tentera musuh. Kami juga berjaya melaksanakan beberapa operasi bahaya. Di antaranya adalah meletupkan kereta kebal dan jentera jentolak tentera di atas ‘ground zero’. Operasi-operasi kami dilancarkan dengan pelbagai strategi dan dibahagi-bahagikan tugas di antara para mujahidin mengikut kepakaran dan strategi yang telah digariskan oleh Bilik Operasi."

Beliau turut mengimbas kembali salah satu operasi yang paling menonjol, dua orang mujahid bernama As-Syahid Al-Agha dan As-Syahid Fadi Abu ‘Audah dengan bahan letupan masing-masing, dan meletupkan bahan letupan masing-masing dalam dua operasi syahid, satu meletupkan jentolak tentera dan satu lagi kereta kebal di atas lapangan sifar. Kedua-duanya telah menyebabkan kematian dan kecederaan di pihak musuh.

Komander Operasi Medan menutup perkongsian ini dengan berkata, “Peristiwa ini telah membuktikan kepada kita rakyat Palestin dan umat Islam bahawa jika seluruh dunia telah mengabaikan rakyat Palestin dan pejuang-pejuang mujahidin kita, sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita dan tidak mengabaikan kita. Allah memberikan bantuan kepada kita dari sisi-Nya."

Sumber: http://www.qudsn.ps/article/46243
Terjemahan: Aman Palestin 

0 comments:

Post a Comment